Skip to main content

Latar Belakang

Penubuhan

Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Dan Perundangan Malaysia ditubuhkan mengikut Perkara 138(1) Perlembagaan Persekutuan.

Bidang Kuasa dan Fungsi

Mengikut Perkara 138(1) Perlembagaan Persekutuan, bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan meliputi semua anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan. Perkara 144(1) memperuntukkan bahawa fungsi Suruhanjaya adalah untuk melantik, mengesahkan, memasukkan ke dalam perjawatan tetap  atau perjawatan berpencen, menaikkan pangkat, menukarkan dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas anggota-anggota perkhidmatan di bawah bidang kuasanya.

Keahlian

Perkara 138(2) menetapkan bahawa keahlian Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Dan Perundangan hendaklah terdiri daripada seorang Pengerusi (yang juga merupakan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), Peguam Negara atau jika Peguam Negara ialah seorang ahli Parlimen atau dilantik tidak daripada kalangan anggota Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Peguam Cara Negara dan seorang atau beberapa orang ahli lain yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, selepas berunding dengan Ketua Hakim Negara, daripada kalangan orang yang menjadi atau pernah menjadi atau yang layak menjadi hakim Mahkamah Persekutuan atau Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi atau yang pernah menjadi hakim Mahkamah Agung sebelum Hari Malaysia. Setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Awam hendaklah juga menjadi setiausaha Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Dan Perundangan.